Jenazah 7 sekeluarga selamat bersemadi

TUJUH  sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah MPV dan traler di Kilometer 5 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands, Pahang selamat dikebumikan petang semalam.

Jenazah kesemua mereka dibawa menaiki enam buah van dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Badlishah dekat Serdang, Kedah.

Kira-kira 1,000 penduduk kampung hadir ke pekarangan tanah perkuburan, solat jenazah kemudian disempurnakan  sebelum kesemua mereka yang terkorban disemadikan dalam satu liang lahad.

Dalam kemalangan petang Selasa, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dipandu Mohd Zairul hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah hadapan.

Selain Mohd Zairul; isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 dan anak bongsu, Nur Qaseh Damia Mohd Zairul, 4 juga terkorban.

Turut terkorban ibu Mohd Zairul, Fatimah Mat Isa, 68, dan sepupu, Zulkifli Shuib, 49, isterinya, Hasliza Mahmud, 40 serta anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3.

Manakala seorang anak Mohd Zairul, Muhammad Haziq, 9, dirawat di zon kuning HRPB manakala anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11, dan seorang lagi dikenali sebagai Apit, 16, dilaporkan dirawat di zon merah.

Sementara itu, perkhabaran duka tentang kematian tujuh beranak itu mengejutkan penduduk kampung.

Allahyarham Mohd Zairul Mat Isa, 34 yang merupakan anak kepada bekas imam masjid kampung tersebut disenangi penduduk setempat berikutan sikapnya yang suka membantu orang lain.

Post a comment

0 Comments