Langgar kuarantin berdosa- Mufti


TINDAKAN seseorang individu melanggar perintah kuarantin yang diwajibkan bagi tujuan mengekang penularan sesuatu wabak yang mengancam nyawa manusia dianggap tindakan tidak bertanggungjawab dan berdosa.

Demikian pandangan diberikan beberapa Mufti seperti dilapor sebuah portal berita tempatan baru-baru ini.

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Nor yang dipetik laporan Malaysiakini berkata menjaga nyawa merupakan sebahagian daripada asas Islam.

Justeru ia perlu patuhi, sama ada rakyat biasa atau pemimpin negara.

“Berdosa, tapi nak kata dosa besar atau tida, tak berani, sebab dia tak ada dalam nas al-Quran ataupun hadis-hadis sahih.

“Cuma kita lihat kepada pandangan-pandangan ulama, mereka mengatakan orang yang mengingkari pihak kerajaan - kalau arahan itu dibuat untuk kepentingan awam dan rakyat - jadi orang yang mengingkarinya berdosalah," katanya.

Negara baru-baru ini digemparkan dengan pendedahan seorang Ahli Parlimen dari DAP, Teresa Kok yang mendakwa seorang menteri dari PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali yang tidak melakukan kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengambil tindakan terhadap Khairuddin setelah Ahli Parlimen Kuala Nerus itu didapati bersalah melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342)

Wan Salim sementara itu menyatakan rasa kecewa dengan tindakan menteri tersebut, Beliau bimbang sekiranya kegagalan mematuhi SOP berkenaan akan menjadi ikutan orang ramai.

“Sebagai seorang menteri dia sepatutnya menjadi contoh oleh rakyat, tapi apabila dia sendiri tak patuhi arahan, maka kita dukacita.

“Rakyat jangan mencontohi perangai atau sikap yang tak baik daripada sesiapa pun termasuklah menteri," kata sebahagian laporan itu. 

Cubaan tutup salah

Tinjauan di laman sosial sejak beberapa hari lalu mendapati sebahagian besar rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan tindakan Khairuddin melanggar SOP ditetapkan kerajaan dianggotainya sendiri.

Suatu petisyen mendesak Khairuddin meletak jawatan turut telah dilancarkan secara dalam talian. Setakat pagi ini ia sudah mendapat hampir 48,000 tandatangan.

PAS pula dilihat cuba mempertahankan Khairuddin. Timbalan Presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata isu keingkaran oleh Khairuddin tidak penting kerana tidak menyebabkan sebarang kluster.

Sementara itu. Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan apa yang berlaku sebagai satu isu besar.

Katanya dalam ajaran Islam ada menyatakan perintah Allah supaya seseorang itu tidak mendedahkan diri sendiri dan orang lain kepada sesuatu mudarat.

“Jadi kalau kita melanggar itu, maknanya kita sudah membuat dosalah kerana al-Quran minta kita taat kepada Allah, rasul, dan taat kepada pemerintah.

“Kita lihat apabila kita tak patuh, kesannya dari segi ekonomi, sosial dan sebagainya adalah kesan yang sangat berat kepada negara, kepada masyarakat,” katanya.

Tambahnya, seseorang itu dituntut untuk beramanah kerana ia merupakan pancaran terjemahan daripada iman.

“Sifat kepemimpinan sangat penting. Jadi tugas pemimpin ialah memimpin dan memandu rakyat. Kalau ada berlaku (begitu) dalam kalangan pemimpin kita sangat kesal dan rasa kecewa,” katanya.

Mufti Pahang Abdul Rahman Osman yang turut senada dengan Wan Salim dan Mohamad Shukri.

Agama tegasnya amat menekankan aspek menjaga nyawa dan ia diletakkan sebagai suatu kewajipan, terutamanya apabila ia boleh membawa kepada kemudaratan.

Kewajipan itu jelasnya perlulah dipatuhi oleh semua orang termasuklah dari kalangan pimpinan menteri.
 

Post a comment

0 Comments