Lim Guan Eng, isteri dan ahli perniagaan mengaku tak salah


BEKAS 
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah dikenakan terhadap mereka.


Lim, 60, dan Phang Li Koon, 48, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid di Mahkamah Sesyen Butterworth siang tadi.

Berdasarkan laporan, Lim didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan tersebut antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Phang pula didakwa telah bersubahat dalam pelakuan kesalahan oleh Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman sama.

Sementara itu, Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, dengan menerima wang masing-masing berjumlah RM87,009; RM180,000 dan RM105,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Okt 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Sept 2014 dan 11 Ogos 2015 serta pada 4 Sept 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama. Chew menegaskan tidak bersalah.

Sebagai rekod, Lim sebelum ini dihadapakan ke Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Beliau menyifatkan tuduhan dikenakan tidak ada asas dan bertujuan mencemarkan reputasinya, Malah bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad memberi pandangan peribadi bahawa tuduhan dikenakan bermotifkan politik.

BACA:
Tuduhan tiada asas, Lim dakwa bermotif politikBACA: Jangan jadi pengecut, ganggu keluarga 
 
Dalam satu kenyataan sebelum ini, Lim yang merupakan bekas menteri Kewangan mengkritik tuduhan dikenakan terhadap isterinya dan amaran kepada musuh politiknya supaya tidak mengganggu keluarganya. 

"Betty sendiri tidak faham mengapa dia didakwa sedangkan pendapatannya sebagai seorang peguam.
“Kepada seteru politik, jadilah anak jantan. Nak serang saya, suka hati anda.

"Jangan jadi pengecut dan ganggu keluarga saya,” katanya dalam kenyataan.

Post a comment

0 Comments