Maal Hijrah: Anwar ajak lawan kebejatan dan perkauman


UMAT
Islam di negara ini diajak untuk terus melawan kebejatan (Keburukan) serta menolak hasad perkauman.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan sempena sambutan Maal Hijrah hari ini.

Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu, sikap menolak sikap yang buruk selari dengan makna hijrah juga bermakna umat Islam harus berani berubah dan menjunjung semangat reformasi (pembaharuan).

“Dunia hari ini menyaksikan ramai umat Islam berhijrah, ada juga yang terpaksa berhijrah bagi mengelak tempias perang atau gejala penindasan.

"Ia bukanlah jalan yang hina kerana agama Islam adalah agama yang menganjurkan hijrah dan perubahan.

“Justeru marilah kita membulatkan tekad di era baru ini dengan semangat dan kejituan baharu yakni untuk terus melawan kebejatan, menolak perkauman dan angkat sebuah sistem yang berpaksikan ‘al-adli wal ihsan’,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas mengenai sambutan Maal Hijrah, Anwar mengajak supaya rakyat merenungi peristiwa hijrah membawa makna baharu pada perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Baginda Rasulullah dan pengikutnya diberi layanan buruk tatkala menerima Islam dan menolak pegangan yang bobrok dan menindas.

“Dari sisi lain, ia juga bermakna pengorbanan maha besar tatkala Nabi Muhammad SAW dan para pengikutnya terpaksa meninggalkan keluarga, perniagaan yang telah terbina dan tempat tinggal demi membina dan mencipta cita baru di Kota Madinah,” katanya.
 

Post a comment

0 Comments