Malaysia catat satu lagi kematian akibat Covid-19


SATU
kematian akibat Covid-19 telah dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kematian itu melibatkan seorang warga emas berusia 75 tahun di Kedah yang dirujuk sebagai pesakit ke 9,290.

Menurut Dr Noor Hisham, mangsa mempunyai sejarah diabetes, tekanan darah tinggi, Chronic Obstructive Pulmonary Disease (COPD) dan penyakit jantung namun tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah akibat jangkitan paru-paru dan dikeluarkan dari wad pada 18 Ogos.

Bagaimanapun mangsa kembali mengalami batuk dan sesak nafas pada 21 Ogos dan mendapatkan rawatan pada 24 Ogos di hospital yang sama.

"Ujian saringan menunjukkan beliau adalah positif Covid-19. Keadaan kesihatan beliau didapati semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 29 Ogos 2020 jam 5.10 petang," kata Noor Hisham dalam kenyataan.

Sebagai rekod, kes tersebut adalah pertama selepas sebulan negara tidak mencatatkan korban bagi wabak tersebut. dengan kes kematian terakhir adalah pada 29 Julai lalu.

Susulan kes kematian terbaru itu menjadikan jumlah angka korban akibat Covid-19 meningkat kepada 126 orang.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 17 kes baru Covid-19 dilaporkan hari ini, yang mana 15 daripadanya merupakan kes import.

Sebilangan besar kes import berkenaan adalah dari India (12 kes) diikuti oleh Arab Saudi (2) dan Jepun (1).

Dua lagi kes penularan tempatan masing-masing direkodkan daripada dua kluster di Selangor dan Kedah.

Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kini adalah sebanyak 9,334 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 sebanyak 160 kes.

Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat tujuh kes positif COvid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana lima kes memerlukan bantuan pernafasan.
 

Post a comment

0 Comments