Mayat kanak-kanak hanyut ditemui


KANAK-KANAK
lelaki berusia lima tahun yang terjatuh dalam parit di Jalan Padang Temusu Sungai Petani, petang semalam ditemui lemas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat Muhamad Uwas Al-Hafiz Hamizal, 5, ditemui jam 9.50 pagi tadi.

Tambahnya, mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani kira-kira 1.4 kilometer dari tempat dia dia dilaporkan terjatuh.

"Operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan K-9 dari Ibu Pejabat JBPM selain bantuan anggota dari BBP Tikam Batu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital.

Dalam kejadian semalam, mangsa dan abangnya dipercayai terjatuh ke dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu.

Abang mangsa, Muhammad Hadiz Hamizal, 10, berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.

Operasi mencari dilakukan sejurus anggota BBP Tikam Batu tiba di lokasi jam 5.44 petang yang disertai tujuh anggota dan dua jentera termasuk Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Post a comment

0 Comments