MotoGP Malaysia musim 2020 dibatalkan

PERLUMBAAN Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) di Litar Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim ini dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

Keputusan itu diumumkan Badan pentadbir sukan permotoran - Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM), Persatuan Pasukan Pelumba Antarabangsa (IRTA) dan Dorna Sports dalam satu kenyataan bersama.

Turut dibatalkan ialah perlumbaan GP Argentina dan Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports Carmelo Ezpeleta berkata ketiadaan ketiga-tiga perlumbaan itu dalam kalendar 2020 sangat memberi kesan kerana peminat setia sukan permotoran sering mengembara ke seluruh benua untuk menyaksikan perlumbaan.

https://t.me/kartelmedia
“Ketibaan peminat di Termas de Rio Hondo (Argentina), Buriram dan Sepang sangat luar biasa, sentiasa mencetuskan suasana dan sambutan luar biasa terhadap sukan ini.

"Kami sangat berharap dapat kembali ke Thailand, Argentina dan Malaysia tahun depan dan seperti biasa, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para peminat atas kesabaran dan pengertian mereka,” katanya.

Sepatutnya perlumbaan GP Malaysia dijadualkan berlangsung pada 30 Okt hingga 1 Nov, ia dianggap salah satu perlumbaan paling menarik dalam kalendar MotoGP. Ia telah diadakan di Malaysia sejak 1999.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif melahirkan rasa kecewa dengan pembatalan GP Malaysia musim ini, namun beliau berharap dapat kembali lebih hebat dalam kalendar 2021.

“Kami sangat berharap untuk menyaksikan aksi perlumbaan di tanah air terutamanya pelumba negara seperti Kasma Daniel, Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin dan Petronas Sepang Racing Team yang bermula baik musim ini.

"Bagaimanapun, dengan situasi penularan Covid-19, keselamatan semua adalah keutamaan, kami tidak mahu mempertaruhkan kesihatan peminat.

“Saya percaya ini menjadi berita sedih buat peminat Malaysia dan seluruh dunia yang membantu menjayakan perlumbaan sehingga hari ini.

“Perkara terbaik dilakukan sekarang ini adalah terus menyokong pelumba dan pasukan negara yang masih bertanding dalam perlumbaan,” katanya dalam kenyataan berasingan oleh SIC.

Post a comment

0 Comments