M'sia catat 10 kes baru Covid-19


KETUA Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat pertambahan 10 kes baru dikaitkan dengan Covid-19 hari ini.

Menurutnya, daripada 10 kes itu, lapan kes merupakan kes import dan dua kes penularan dalam negara.

Lapan kes import itu tambah Dr Noor Hisham membabitkan seorang warganegara dan tujuh bukan warganegara iaitu dari India dan Filipina.

"Manakala dua kes penularan dalam negara, satu kes melibatkan warganegara yang dikesan di Kedah daripada saringan bergejala, manakala kes bukan warganegara dikesan di Selangor iaitu kes saringan tahanan pendatang asing tanpa izin di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil," katanya dalam satu kenyataan.

Perkembangan terkini itu menjadikan kes positif di Malaysia adalah sebanyak 9,306 kes.

Sementara itu, Beliau turut memaklumkan 36 kes telah pulih, menjadikan  jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,030 kes atau 97.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 151 kes aktif dengan kebolehjangkitan sedang dirawat ketika ini.

Daripada jumlah itu lapan orang yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

"Tiada kes kematian dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia kekal 125 kes, iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," tambahnya.

Post a comment

0 Comments