Naik kadar kompaun: Teresa mahu Khairuddin kena dulu


KERAJAAN digesa mengenakan kadar kompaun lebih tinggi terhadap seorang menteri yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib baru-baru ini

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok membuat gesaan itu susulan ada cadangan agar kadar yang dikenakan terhadap mereka yang melanggar peraturan pencegahan Covid-19 dinaikkan ke kadar lebih tinggi.

Menurut Teresa, kerajaan tidak boleh menaikkan kadar kompaun terhadap rakyat, sekiranya ia tidak dikenakan kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali terlebih dahulu.

"Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa dia menyokong kenaikan denda  kesalahan melanggar peraturan Covid-19 'sekurang-kurangnya dua hingga tiga' kali lebih tinggi.

"Pengumuman ini membuat saya tertanya-tanya adakah ia akan diterapkan secara menyeluruh, termasuk terhadap Khairuddin, yang jelas melanggar peraturan kuarantin.

"Sekiranya (Muhyiddin) masih berkeras untuk meningkatkan denda yang dikenakan, maka dia harus terlebih dahulu memastikan Khairuddin dikenakan denda dua hingga tiga kali lebih tinggi daripada denda semasa yang dikenakan kepadanya.

"Dia sekarang harus mengarahkan Peguam Negara untuk meminta semakan denda RM1,000 yang telah dijatuhkan kepada menteri itu atas kesalahan serius.. segera,," kata Kok dalam satu kenyataan.

Pada Jumaat, Muhyiddin dilapor media sebagai menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk menaikkan kadar kompaun ke atas mereka yang ingkar peraturan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Kadar maksimum dikenakan terhadap individu yang ingkar kepada arahan itu sekarang ialah RM1,000.

Khairuddin sebelum ini dikritik hebat susulan tindakannya tidak melakukan kuarantin kendiri setelah pulang dari Turki. Beliau kemudian dikompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan dibawah Akta 342.

Walaupun dikritik, pemimpin PAS itu beberapa kali mempertahan tindakannya dengan berkata beliau telah membuat saringan dan hasilnya adalah negatif, malah tidak perlu melepaskan jawatannya kerana ia hanya sekadar 'khilaf'.

Walaupun beberapa pemimpin PAS cuba mempertahan Khairuddin, rakyat terus menyuarakan rasa kecewa atas sikap menteri terbabit dan beraganggapan hukuman dikenakan kepada Ahli Majlis Ulama PAS itu bersifat pilih kasih.

Sementara itu Teresa berkata, sekiranya kadar kompaun lebih tinggi dikecualikan terhadap Khairuddin, ia dibimbangi akan mencerminkan kurangnya rasa simpati dan pilih kasih yang diamalkan Perikatan Nasional (PN) terhadap rakyat.

"Perdana menteri nampaknya tidak peduli dengan akibat buruk terhadap sebahagian besar rakyat yang mengalami masalah kewangan.

"Selain itu, Muhyiddin juga tidak peduli dengan kemungkinan bahawa kenaikan denda tidak dapat dielakkan akan mendorong berlakunya amalan rasuah oleh beberapa pegawai penguat kuasa yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka, memandangkan kriteria penguatkuasaan selalu subjektif," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments