Nur Jazlan sokong cadangan Umno tinggalkan PN


GESAAN
pemimpin vateran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah agar menteri dan timbalan menteri Umno meninggalkan kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) disokong Nur Jazlan Mohamed.

Timbalan Pengerusi Umno Johor itu berkata, cadangan Tengku Razaleigh tepat pada masanya disebabkan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pimpinan Muhyiddin Yassin telah melanggar prinsip asas penubuhan Muafakat Nasional (MN) setelah membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.

"Jadi, menteri atau timbalan menteri dari Umno perlu letak jawatan dan keluar dari kerajaan Perikatan.

"Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa ahli Parlimen Umno nak duduk lagi dalam kerajaan PN," katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Tengku Razaleigh yang merupakan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno menegaskan tindakan Bersatu membuka keanggotaan kepada bukan Bumiputera menjadikan parti itu tidak lagi layak berada dalam "pakatan Melayu-Islam yang didukung MN".

Bersatu mengumumkan rancangan menubuhkan sayap parti yang akan membolehkan anggota bersekutu bukan Bumiputera memegang jawatan dalam parti itu berikutan kemasukan penyokong Azmin dikalangan bukan Bumiputera kedalam parti itu.

Jelas Nur Jazlan mengingatkan, jika Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN, tiada jaminan mereka tidak akan membuat "u-turn" lagi.
 
"Pemimpin-pemimpin dari Umno ini kena ingat kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan 'permainan politik' Bersatu," kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.

Post a comment

0 Comments