Pejuang terlalu bergantung kepada populariti Tun M


KETUA
sekretariat Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail berkata, gabungan itu akan mennjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim sebagai panduan mengkaji corak sokongan pengundi.

Menurut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, keputusan di Slim minggu lalu penting supaya mereka dapat mengkaji strategi yang bakal diguna pakai untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"HARAPAN akan menganalisis corak sokongan rakyat dalam PRK Slim. Ini adalah untuk menyusun strategi yang betul untuk PRU 15," katanya.

Mengulas lanjut mengenai PRK tersebut, Saifuddin dalam pandangan awalnya mengakui gabungan kerjasama Umno-PAS melalui Muafakat Nasional (MN) kini menjadi cabaran terbesar untuk HARAPAN.

"Pada pandangan saya, Bersatu tidak signifikan langsung. jentera Bersatu tiada kelihatan di PRK Slim.

"Sebaliknya, gabungan Umno-PAS lebih menjadi dan ini cabaran," kata Setiausaha Agung KEADILAN itu dipetik Malaysiakini.

Saifuddin turut merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN (Mohd Zaidi Aziz) yang menang besar dengan majoriti 10,945 undi, berbanding calon Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang mendapat 2,115 undi dan calon bebas, Prof Santhara Sekaran Subramaniam yang hanya meraih 276 undi.

Sementara itu, Saifuddin melihat antara faktor Amir Khusyairi gagal menyerlah pada PRK itu berpunca dari kebergantungan parti Pejuang kepada populariti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pejuang yang baru bertunas, terlalu bergantung kepada pengaruh Tun M. Ternyata tidak memadai untuk dapat sokongan rakyat.

"Sokongan Melayu ternyata tidak pergi kepada Tun M seperti yang dipercayai sebelum ini oleh sesetengah pihak," katanya dipetik.

Post a comment

0 Comments