Pendakwaan rayu tambah hukuman terhadap Najib


PIHAK pendakwaan dilapor memfailkan rayuan untuk menambah tempoh hukuman penjara dan denda dikenakan terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Bernama dalam laporannya hari ini berkata, Ketua Unit Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) Mohd Dusuki Mokhtar semasa dihubungi mengesahkan notis rayuan difailkan Jumaat lepas menerusi e-filing.

“Kami (pihak pendakwaan) memfailkan notis rayuan terhadap semua hukuman dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

Najib yang disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC Sdn Bhd oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun, masing-masing bagi tiga kes CBT dan masing-masing bagi tiga kes pengubahan wang haram dan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau lima tahun penjara jika gagal membayar denda itu bagi kes salah guna kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Hukuman itu ditangguhkan sementara proses rayuan dijalankan.

Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati dia bersalah terhadap tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan melibatkan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Sementara itu, Mohd Dusuki juga berkata hari ini adalah hari terakhir bagi pihak pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan rayuan mereka, berikutan kedua-dua pihak mempunyai tempoh 14 hari untuk memfailkan rayuan masing-masing selepas keputusan pada 28 Julai.

Post a comment

0 Comments