Pengajaran PRK Slim: Rakyat tolak kuasa politik ketiga


TARIKAN
peribadi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin merosot dan rakyat sudah tidak lagi mahu menyokongnya, kata ketua pembangkang Perak Dr. Abdul Aziz Bari.

pandangan itu diluah Abdul Aziz susulan keputusan pilihan raya kecil (PRK) DUN Slim semalam yang menyaksikan calon yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sedang ditubuhkan Dr Mahathir tewas kepada calon Barisan Nasional (BN).

"Sepertinya Pejuang tak ada tempat," kata pakar perlembagaan itu dipetik Malaysiakini.

Sebagai rekod, calon bebas mewakili Pejuang, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi hanya mendapat 2,115 undi berbanding calon BN, Mohd Zaidi yang meraih 13,060 undi.

Mohd Zaidi memperolehi majoriti hampir 11,000 berbanding bekas calon BN pada PRU-14, Mohd Khusairi yang hanya meraih majoriti 2,183 undi

Tambah Adun Tebing Tinggi itu lagi, rakyat tidak berminat dengan kemunculan kuasa ketiga dalam pentas politik negara.

Atas sebab itu jelasnya, calon Pejuang itu gagal menikmati sokongan penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) yang telah memberikan undi sebanyak 33 peratus dalam pertandingan tiga penjuru pada PRU14.

"Saya rasa di Semenanjung, pengundi tidak berminat dengan kuasa ketiga sama ada Pejuang atau sebaliknya.

"Pengajaran yang boleh diambil dari Slim adalah tiada isu mengenai kuasa ketiga. Ini hanya akan memecah undi dan mengelirukan rakyat.

"Bagi saya masa depan adalah dengan HARAPAN, kita bercakap mengenai sistem dua parti," katanya.

Sementara itu jelasnya, walaupun kelibat beberapa pemimpin HARAPAN dilihat membantu kempen calon Pejuang di PRK tersebut, namun ketiadaan pemimpin besar dari DAP dan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim amat dirasai.

"Saya rasa ini merupakan tanda soal bagi konsep PH plus. Ketika menentang Umno dan BN, rakyat mahukan Pakatan Harapan, titik. Ringkas dan mudah," katanya lagi.

Post a comment

0 Comments