PRN Sabah: KEADILAN kurang minat guna logo parti lain


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) Sabah memberi bayangan tidak berminat menggunakan logo parti lain dalam Pilihan raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangannya, Simsudin Sidek, berkata dengan keahlian lebih 170,000 orang, kedua tertinggi selepas Selangor, cadangan itu dianggap seolah-olah satu penghinaan kepada ahli parti itu.

Ia juga dianggap satu cadangan yang hanya akan merugikan KEADILAN di Sabah.

"KEADILAN berpendapat cadangan itu bersifat regresif dan tidak strategik serta mengundang malapetaka kepada kelangsungan hidup parti itu di Sabah.

"Parti ini sudah wujud lebih 20 tahun dan bukannya sebuah parti baharu yang ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Khairuddin Daud mencadangkan parti kompenan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggunakan logo WARISAN.

Khairuddin berkata, ia sebagai tanda kesatuan semua parti yang menyokong WARISAN di Sabah.

"Logo adalah simbol idealisme dan identiti sesebuah parti yang sangat penting kerana ia membawa makna cogan perjuangan yang membina hubungan kuat dengan pendukung perjuangan parti.

"Isu penggunaan logo parti sendiri atau HARAPAN bukan didorong atas sifat ego tetapi berlandaskan prinsip dan perjuangan KEADILAN," jelasnya.
 

Post a comment

0 Comments