RM6.61 bilion: Guan Eng 'check mate' pemimpin PN


BEKAS
menteri kewangan Lim Guan Eng, hari ini tampil menegaskan bahawa 101 kontrak kerajaan bernilai RM6.61 bilion yang didakwa diluluskan pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah tuduhan tidak benar.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, tuduhan dilemparkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Dewan rakyat adalah angka yang tidak tepat.

“Kebanyakan projek rundingan terus bukan inisiatif daripada HARAPAN tetapi adalah projek yang diwarisi atau sambungan dari zaman BN.

“Bezanya, HARAPAN telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara.

“Apa yang mengejutkan rupa-rupanya, projek rundingan terus di bawah iniasiatif HARAPAN bukan RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan," katanya dipetik.

Lim menjelaskan, semasa pentadbiran selama 22 bulan kerajaan itu, sebanyak 99.93 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukannya rundingan terus.

Projek rundingan terus oleh HARAPAN hanya 0.07 peratus atau RM352 juta dari keseluruhan perolehan kerajaan.

"Baki RM6.258 bilion ialah projek diwarisi dan sambungan dari zaman Barisan Nasional (BN) yang terpaksa diteruskan atau diambil alih oleh HARAPAN,” tambahnya.

Keraguan terjawab


Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Isnin mendakwa pentadbiran selama 22 bulan HARAPAN mentadbir telah  meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Beberapa Ahli Parlimen dari Umno antaranya, Abdul Azeez Rahim (Umno-Baling), Noh Omar (Umno-Tanjung Karang) dan Ahmad Mazlan (Umno-Pontian) bangkit menyerang HARAPAN.

Beberapa Ahli Parlimen dari HARAPAN termasuk Lim kemudian bangkit meminta supaya projek yang didakwa diluluskan dizaman HARAPAN itu disenaraikan dan ia disokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keraguan kami telah ternyata dan terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan oleh kementerian kewangan semalam,” kata Lim dalam sidang medianya hari ini.

Sementara itu Lim berkata, dengan senarai itu, walaupun terdapat usaha menutup hakikat bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan beberapa menteri yang berpaling tadah menyertai PN juga ada meminta projek rundingan terus ketika mereka didalam HARAPAN.

“Kementerian Dalam Negeri (Muhyiddin Yassin) meminta RM517.7 juta. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) meminta RM170.8 juta.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Azmin Ali) meminta RM1.2 juta; dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (Rina Harun) meminta RM7.6 juta.

"Semua mereka menafikannya di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar. Walau bagaimanapun, pembohongan mereka dibongkar dengan pendedahan Zafrul," tambahnya.

Sebagai kesimpulan, Lim berkata biar rakyat membuat penilian sendiri tentang kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

“Biar fakta berbicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar,” tambah pemimpin DAP itu lagi. 

Zafrul harap isu tak dipolitikkan

Sementara itu, dalam kenyataan terbaharu yang dilapor media, Tengku Zafrul  mahu isu tersebut tidak lagi dipolitikkan. 

Beliau berkata, perolehan projek kerajaan secara rundingan terus diperuntukkan di bawah undang-undang.
Tengku Zafrul menjelaskan,  isu tender itu hanya bagi menjawab soalan dikemukakan Ahmad Maslan.

Post a comment

0 Comments