Rossi trauma, GP Austria penuh drama


PELUMBA Itali, Andrea Dovizioso memenangi perlumbaan penuh drama di Grand Prix (GP) Austria pada Ahad yang dibayangi kemalangan dalam kelas Moto2 dan MotoGP.

Kemenangan itu dirangkul Dovizioso selepas perlumbaan kelas tertinggi itu dimulakan semula setelah dihentikan susulan berlaku kemalangan ngeri membabitkan pelumba Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli dan pelumba Perancis, Johann Zarco.

Dalam kemalangan tersebut, jentera Morbidelli dilihat melambung dan hampir-hampir menghentam pelumba veteran, Valentino Rossi.

Andrea Dovizioso
Lebih menarik sesetengah pihak melihat kemenangan dilakukan Dovizioso di Litar Red Bull Ring-Spielberg sebagai tamparan buat pasukan Ducati. Kira-kira 24 jam sebelum perlumbaan, Dovizioso secara rasmi mengumumkan untuk meninggalkan pasukan Ducati pada hujung musim ini.

Bagaimanapun, Dovizioso menafikan anggapan tersebut, jelasnya kemenangan itu bukan dari motivasi hasil keputusannya untuk meninggalkan pasukan tersebut dan beliau bukan cuba membuktikan sesuatu kepada pasukannya.  

"Kami sudah menunjukkan pada masa lalu betapa kuatnya kami di trek ini.

"Pasti trek membantu kami tetapi kami benar-benar banyak belajar dan mendekati latihan dengan cara yang berbeza, ini adalah sebab mengapa saya di sini [jadi pemenang]."

Sebagai rekod, jentera Ducati terkenal sebagai antara jentera yang mampu memberi saingan kuat kepada pasukan lain, namun ia dilihat kurang menyerlah pada musim ini.

Sementara itu, Pelumba Sepanyol, Joan Mir yang menunggang untuk pasukan Suzuki berjaya menafikan kemenangan satu dua Ducati di atas litar Red Bull Ring. Joan Mir meraih podium kedua selepas memotong Jack Miller (Paramac Ducati) di selekoh terakhir.

Nasib baik Rossi

Sementara itu, Rossi yang menunggang bagi pasukan Monster Energy Yamaha dianggap sebagai pelumba paling bernasib baik.

Jentera  Morbidelli dan Zarco yang terbabit kemalangan di satu sudut selekoh melambung melambung tinggi ke tengah litar dan hampir menghentam dan mungkin akan meragut Rossi.

Rossi yang menunggang dalam kelajuan tinggi bernasib baik kerana jentera Morbidelli melambung hanya beberapa sentimeter di depannya ketika dia melintasi insiden itu.

Rossi hampir dirempuh jentera Morbidelli
"Saya tidak percaya Valentino Rossi berada di situ. Terima kasih..terima kasih, jentera itu hampir melanggarnya," kata pengulas perlumbaan.

Seorang lagi pengulas berkata: "Tiada apa yang boleh Rossi lakukan ketika itu. Dia sangat bernasib baik."



Rossi ketika diwawancara Sky Italia mengakui berdepan rasa

trauma dengan kejadian tersebut.
"Jentera Morbidelli hampir membunuh saya. Jentera Ducati Zarco juga melintas hanya beberapa meter di depan saya, ia saat yang bahaya. 

"Saya sangat takut. Saya menggigil, menyambung semula perlumbaan adalah sukar. Saya mengambil risiko terbesar dalam karier saya," katanya.

Rossi yang terselamat dari insiden tidak diingini menghabiskan perlumbaan di kedudukan ke-5 dihadapan Brad Binder dari pasukan KTM.

Manakala  Fabio Quartararo (Petronas Yamaha SRT) yang memulakan perlumbaan semula di petak paling belakang menamatkan perlumbaan di tempat ke-8.

Quartararo masih mendahului perlumbaan dengan 67 mata, berkelebihan 11 mata dihadapan Dovizioso.wa

Post a comment

0 Comments