Saidi mengaku 'taja' Umno, tandatangan perjanjian


AHLI  perniagaan, Saidi Abang Samsudin mengakui membiayai kos hotel dan perbelanjaan lain membabitkan delegasi Umno bahagian Padang Terap yang diketuai bekas menteri pendidikan, Mahdzir bin Khalid pada 2016.

Tampil sebagai saksi dalam kes rasuah membabitkan Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi awal minggu ini, Saidi dipetik laporan media berkata, sebanyak RM40,000 dibelanjakan untuk delegasi itu menghadiri Perhimpunan Agung Umno pada 2016.

Sebagai rekod, Mahdzir merupakan ketua Umno dan ahli Parlimen bagi kawasan berkenaan.

Dia dikaitkan dalam kes pemberian rasuah atas persetujuan memberi kontrak pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah pendalaman Sarawak kepada Jepak Holdings yang turut membabitkan Rosmah yang merupakan isteri Perdana Menteri ketika itu.

Sementara itu, Saidi berkata, beliau menandatangani perjanjian dengan Md Fuad Yassin, seorang individu dipercayai proksi Mahdzir.

Perjanjian itu untuk membayar sejumlah wang bagi mendapat surat tawaran projek pembangunan bernilai RM1.25 bilion itu.

Bagaimanapun sewaktu disoal balas oleh peguam, Akberdin Abdul Kader, Saidi menolak perjanjian itu ditandatangani kerana mengetahui latar belakang Fuad sebagai proksi kepada Mahdzir.

Akberdin: Saya menganggap kamu sedar bahawa Fuad adalah proksi Mahdzir.

Saidi: Saya menafikannya.

Akberdin: Kamu sembunyikan fakta itu kerana awak rapat dengan Mahdzir

Saidi: Saya bercakap benar…Saya tidak tahu hubungan antara Fuad dan Mahdzir.

Pada 3 Ogos lalu, bekas rakan kongsi Saidi, Rayyan Radzwill Abdullah memberitahu mahkamah bahawa Mahdzir menuntut habuan sejumlah 20% daripada kos projek sebagai ganjaran terhadap beliau mendapatkan kontrak bagi Jepak Holdings.

Bagaimanapun, Rayyan menjelaskan amaun wang itu dikurangkan kepada RM60 juta atau RM1 juta sebulan bagi tempoh 5 tahun bermula tahun 2016.

wang bayaran itu menurutnya akan dibayar melalui proksi Mahdzir, iaitu Fuad.

Umno Bahagian Pekan

Sementara itu, Saidi turut mengakui beliau menandatangani perjanjian membayar RM50 juta atau 4% nilai projek kepada setiausaha Umno bahagian Pekan, Ahmad Aazmey Abu Talib.

Bayaran itu dibuat bagi menghargai bantuan Ahmad Aazmey mendapatkan minit mesyuarat dan surat kelulusan projek daripada Najib.

“Duit itu dibayar secara ansuran selama 5 tahun bermula 2016, manakala tambahan 2% akan dibayar sekiranya projek itu disambung selepas tempoh 5 tahun,” katanya.

Saidi berkata, sejumlah RM2 juta telah diserahkan kepada Ahmad Aazmey antara 2015 dan 2016.

Rosmah, isteri kepada Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, kini didakwa atas 3 pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada Saidi sebagai habuan membantu syarikat Jepak Holding Sdn Bhd mendapatkan projek berkaitan sekolah di pendalaman Sarawak.

Projek itu dilapor diperolehi menerusi rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah turut dituduh menerima rasuah RM6.5 juta daripada Saidi pada tahun 2016 dan 2017.

Post a comment

0 Comments