Sejauh mana K'jaan Muhyiddin mampu bertahan ?


KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan sejauh mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh bertahan.

Persoalan itu timbul selepas gabungan itu hanya mendapat sokongan 111 ahli Parlimen dalam pengundian Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Undi nipis itu jelasnya hanya akan menyebabkan kewibawaan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin akan terus dipertikaikan.

“Adakah kerajaan ini boleh bertahan hanya dengan 111 sokongan ahli Parlimen atau akan ada lagi episod sogokan dengan segala ugutan dan tawaran pangkat atau jawatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengundian secara belah bahagi meminta peruntukan sebanyak RM7.18 bilion semalam semalam menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju, 106 tidak bersetuju dan lima Ahli Parlimen lain tidak hadir.

Lima ahli Parlimen yang tidak hadir ialah Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), Maximus Ongkili (PBS-Kota Marudu), Shafie Apdal (Warisan-Semporna), Wilfred Madius Tangau (Upko-Tuaran) dan Christina Liew (PH-Tawau).

Mengulas ketidakhadiran wakil rakyat pembangkang ketika pengundian itu, Anwar berkata bahawa beliau berpuas hati dengan alasan diberikan kesemua mereka.

“HARAPAN  berpuas hati dengan alasan yang diberikan 3 orang ahli Parlimen yang tidak hadir semasa proses undian hari ini kerana sibuk dengan urusan pilihan raya negeri Sabah yang akan berlangsung kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar, berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak akan berundur dalam perjuangan, sebaliknya akan terus mempertahankan mandat rakyat dengan semangat, kekuatan dan setiakawan baru.

HARAPAN tekadnya akan terus berusaha menjadi suara rakyat di Parlimen dan akan meneruskan ikhtiar mengembalikan mandat rakyat.
 

Post a comment

0 Comments