Tiada pegawai KKM tahu Khairuddin ingkar kuarantin


TIADA pegawai tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengetahui bahawa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali yang melanggar peraturan kuaranti kendiri sehingga ia didedahkan di Dewan Rakyat.

Perkara itu dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media petang tadi.

Ketika ditanya pada sidang media petang ini, Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa dia bersama beberapa timbalan ketua pengarah kesihatan yang lain dan pengarah bahagian kawalan penyakit berjangkit tidak diberitahu mengenai keingkaran Khairuddin.

"Kami tidak diberitahu. Kami (hanya) diberitahu minggu lalu dan apa yang kami lakukan, perkara pertama yang kami lakukan, adalah mengarahkan supaya siasatan dalaman dijalankan.

“Semalam saya terima laporan dari siasatan dalaman itu, laporan penuh mengenai apa yang berlaku," jelasnya.

Menurut Dr Noor Hisham, hasil siasatan itu diserahkan kepada pihak polis dan kes itu sedang diteliti.

Dalam sidang media itu juga, Dr Noor Hisham mengelak mambuat ulasan berhubung isu kompaun RM1,000 dikenakan terhadap ulamak PAS itu yang didakwa tarikhnya telah dikebelakangkan.

Menurutnya ulasan itu dibimbangi akan menjejaskan siasatan polis dan sebagainya.

"Jadi saya fikir kita harus serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes ini dan kita akan menunggu laporan pihak polis," katanya.

Sementara itu, Beliau turut mengingatkan bahawa penting untuk petugas  barisan hadapan (bahawa) memaklumkan kepada pihak atasa berhubung apa sahaja yang berlaku.

Tegasnya ia penting supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin.

Post a comment

0 Comments