Usain Bolt positif Covid, kuarantin diri sendiri


LAGENDA acara pecut, Usain Bolt dilapor menjalani kuarantin sendiri selepas ujian Covid-19 dilakukannya didapati positif.

Perkara itu dimaklumkan pelari Jamaica itu menerusi video di Twitter.

Bolt yang merupakan pemegang rekod dunia acara pecut 100 meter dan 200 meter berkata, dia tidak mengalami simptom tetapi dia memberitahu rakan yang pernah bersamanya untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Hujung minggu ini, sama seperti orang lain, saya melihat media sosial dan melihat paparan mengatakan saya disahkan dijangkiti COVID-19," kata Bolt.

"Saya membuat ujian pada Sabtu untuk meninggalkan (Jamaica) kerana saya ada kerja," katanya dalam satu rakaman video berkenaan.

Memetik laporan Rauters,  Kementerian Kesihatan Jamaica mengesahkan perkara itu pada Isnin

Bolt didapati positif seminggu majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34.

Majlis yang diadakan itu dikatakan dihadiri ramai tetamu dan mereka dilihat tidak memenuhi piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), termasuk tidak memakai pelitup muka.

"Saya akan melalui kuarantin sendiri dan menanti pengesahan untuk melihat apa protokol perlu dilalui dan melihat apa yang berlaku selepas kuarantin saya lalui menerusi Kementerian Kesihatan.

"Sehingga itu, saya akan menghubungi kawan dan memberitahu mereka jika ada kontak dengan saya, menjalani kuarantin dan tenang," kata Bolt.

Untuk rekod, kes harian COVID-19 di Jamaica meningkat kepada lebih 60 kes sehari sejak empat hari lalu, berbanding kurang 10 kes beberapa minggu sebelumnya.

Pegawai Kesihatan negara itu menyifatkan, ia berpunca daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa serta sambutan hujung minggu sempena Hari Kemerdekaan negara itu.

Sehingga hari ini, Jamaica merekodkan 1,612 kes positif COVID-19 dengan 622 kes aktif serta 16 kematian.

Post a comment

0 Comments