Warga emas maut dirempuh pemandu 'lalok'


TINDAKAN
tidak bertanggungjawab seorang lelaki memandu kereta dipercayai di bawah pengaruh dadah mengundang kecelakaan.

Gara-gara itu, seorang warga emas dilanggar lelaki itu dalam kejadian di Kampung Serapoh di Jalan Parit, Parit pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata warga emas dikenali sebagai Razali @ Nazaei Yaacob, 82, yang menunggang motosikal Demak 90CC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Keadaan di tempat kejadian | Foto - Metro
"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Pemandu kereta berkenaan tidak cedera namun dia ditahan selepas pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine dan peralatan menghisap dadah di dalam kotak rokok di tangan kanannya," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 46 tahun masuk ke laluan bertentangan di selekoh lalu berlanggar dengan motosikal mangsa.

Susulan kejadian itu, ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati pemandu kereta itu positif methamphetamine dan semakan mendapati dia tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, kereta lelaki itu ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Parit pagi ini.

Kes tersebut juga tambahnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Post a comment

0 Comments