Zafrul berani dedah projek rundingan terus k'jaan PN?


PEMIMPIN senior, Lim Kit Siang menyifatkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah tersilap langkah apabila mendedahkan isu projek runding  yang diperkatakan baru-baru ini.

Memetik satu laporan, Lim menyifatkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB yang dilantik pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai menteri itu seolah-olah menghulurkan tengkuk untuk di sembelih selepas termakan umpan.

“Strategi Tengku Zafrul dan Kerajaan Perikatan Nasional telah menyumbat gol sendiri.

"Senarai 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion didedahkan oleh beliau telah menjadi testimoni terbaik untuk membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan jauh lebih baik dari Barisan Nasional (BN) atau kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) walaupun mempunyai kelemahan di sana sini,” katanya dipetik.

Tambah Lim, sekiranya Zafrul jujur, menteri itu tegasnya tidak seharusnya cuba menimbulkan persoalan terhadap integriti kerajaan HARAPAN, sebaliknya memuji kejayaan ditunjukkan HARAPAN.

Lim memberi contoh dimana pentadbiran HARAPAN telah menyelamatkan RM70 juta wang negara melalui Fasa 2 Projek Klang Valley double-tracking apabila membayar hanya RM4.475 billion untuk projek itu berbanding kos asal yang dipersetujui BN sebanyak RM5.265 billion.

Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mempersoalkan apakah Zafrul bersedia untuk mendedahkan senarai kontrak-kontrak yang telah dianugerahkan melalui rundingan terus yang telah diluluskan oleh beliau dalam tempoh enam bulan melalui kerajaan PN yang dibentuk secara 'pintu belakang'.

“Jika beliau tidak mempunyai sebarang masalah dalam mendedahkan senarai kontrak-kontrak rundingan terus bawah kerajaan Pakatan Harapan ini, mengapakah beliau kelihatan seakan-akan malu-malu kucing untuk mendedahkan senarai kontrak-kontrak rundingan terus di bawah kerajaan Perikatan Nasional?” katanya lagi.
 

Post a comment

0 Comments