100 kes, tertinggi dalam 3 bulan


JUMLAH keseluruhan kes Positif Covid-19 di negara ini melonjak kepada 9,559 setelah 100 lagi kes baru direkodkan hari ini.

Jumlah tersebut adalah kenaikan yang tertinggi dalam tempoh kira-kira tiga bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 100 kes baharu yang dilaporkan, 85 kes adalah kes tempatan, manakala baki 15 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Beliau berkata, 85 kes penularan di dalam negara membabitkan 55 warga Malaysia dan 30 bukan warganegara.

"Sebahagian besar kes dilaporkan membabitkan Kluster Benteng di Sabah dengan 62 kes, iaitu 32 jangkitan membabitkan warga Malaysia, manakala 30 lagi bukan warganegara.

"Selain itu, 22 kes lagi membabitkan warga Malaysia dari Kluster Sungai di Kedah dan satu lagi kes dari kluster sama di Perlis," katanya

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 12 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes pulih meningkat kepada 9,136 kes.

Dengan perkembangan itu, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah sebanyak 295 kes.

"Ada tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," jelas Dr Noor Hisham lagi.

Tiada kematian baru dilaporkan dengan jumlah kumulatif kematian akibat wabak itu kekal 128 kes.

Post a comment

0 Comments