312 sedang dirawat, tertinggi sejak 3 bulan lalu


KEMENTERIAN
Kesihatan melaporkan 24 kes baharu Covid-19 dikesan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata,  jumlah itu merangkumi 18 kes membabitkan penularan dalam negara dan 6 import.

Katanya, daripada 6 kes import melibatkan 3 warga Malaysia dan 3 bukan warganegara.

“Bangladesh (2 kes: 1 di Negeri Sembilan, 1 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), China (1 di Sabah), Indonesia (1 di Sabah), Singapura (1 di Sarawak) dan Korea Selatan (1 di Selangor),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, daripada 18 kes penularan dalam negara, 16 dalam kalangan warga Malaysia dan 2 bukan warganegara.

Katanya, di Kedah ada 16 kes baharu iaitu 13 kes daripada kluster Sungai, masing-masing 1 kes daripada kluster Tawar, kluster Telaga dan kes saringan bergejala di Hospital Sultanah Bahiyah.

“Di Sabah ada 2 kes daripada kluster Benteng LD,” tambahnya.

Dengan perkembangan itu, Malaysia kini merekodkan 9,583 kes Covid-19

9,143 daripadanya sudah sembuh termasuk 7 pesakit hari ini.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, setakat ini 312 pesakit Covid-19 sedang dirawat di seluruh negara yang merupakan tertinggi sejak tiga bulan lalu.

Daripada jumlah itu, 7 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 4 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kematian kekal 128 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.
 

Post a comment

0 Comments