AMK Sabah betulkan kesilapan penganalisa politik


SEORANG pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah tampil membetulkan beberapa kekeliruan pada pandangan penganalisis politik berhubung isu Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin menjawab pandangan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis sebelum ini bahawa KEADILAN tidak akan mampu memenangi PRN Sabah tanpa pakatan strategik dengan parti tempatan lain termasuk DAP dan berkata bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak wujud di Sabah.

"Pakatan Harapan Sabah telah wujud seawal 2016 dan secara rasmi pada 2017.

"Malah saya sendiri diberikan amanah sebagai Setiausaha Sekretariat Pemuda Pakatan Harapan Sabah pada Februari 2017," jelas Razeef.

Sementara itu, ketika mengulas isu penggunaan logo HARAPAN pada PRN itu, Razeef berkata, logo HARAPAN sudah dikenali umum di Sabah namun ia bersifat tidak adil jika ia digunakan kerana parti pemerintah negeri, Parti Warisan Sabah (Warisan) akhirnya akan dilihat sebagai sebuah blok ketiga yang kecil.

"Maka demi menjaga hubungan antara parti kita memutuskan untuk menggunakan logo sendiri," katanya.

Razeef turut menyuarakan keyakinan bahawa hasil perbincangan semua sekutu politik KEADILAN di negeri itu, parti tersebut bakal diberi tanggungjawab untuk bertanding di lebih banyak kerusi DUN.

Keyakinan itu dilontarkan susulan pandangan  Dr Jeniri Amir yang mengatakan PKR berkemungkinan hanya memperoleh tambahan tiga kerusi


"Saya ingin memperbetulkan beberapa kenyataan penganalisa politik, antaranya dakwaan Keadilan hanya akan 'diberi' tiga kerusi tambahan.

"Di sini saya ingin menegaskan tidak ada pihak yang lebih berkuasa sehingga KEADILAN perlu mengharapkan agar diberikan kerusi. KEADILAN telah bersedia meletakkan calon di lebih banyak kerusi berbanding sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada KEADILAN pada PRN Sabah akhir bulan ini 'sangat kecil'.

Bagaimanapun isu pembahagian kerusi hanya akan dimuktamadkan sebelum penamaan calon Sabtu depan bersama parti-parti dalam HARAPAN bagi mengelakkan sebarang pertindihan atau perebutan kerusi.

Presiden parti itu dalam satu ucapan di Kota Kinabalu baru-baru ini menegaskan isu kerusi wajar diselesaikan sebelum penamaan, dan jentera parti itu perlu fokus untuk memenangkan semua calon sekutu mereka pada PRN ini walaupun daerah diwakili mereka meletakkan calon dari parti sahabat.

Post a comment

0 Comments