Anwar bidas tindakan Filipina cabar kedaulatan M'sia


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kenyataan tegas berhubung cubaan Filipina yang cuba mencabar kedaulatan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Anwar berkata, tindakan beberapa pegawai Filipina cuba menjalankan usaha menuntut negeri Sabah dari Malaysia tidak boleh diterima.

Justeru jelasnya, usaha kerajaan Malaysia untuk menegaskan integritinya ke atas kawasan itu kepada semua badan serantau dan antarabangsa wajar disokong.

“Sabah adalah sebahagian Malaysia. Keputusan ini dibuat oleh rakyat Sabah sendiri pada 1963.

"Rakyat Malaysia bersatu dalam mempertahankan setiap inci daripada kawasan kami,” katanya.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah 'semakin panas' susulan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membuat keputusan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320km Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.

Filipina mempunyai tuntutan lama terhadap Sabah berdasarkan sejarah pemilikan Sultan Sulu yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara.

Baru-baru ini, Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan, Setiausaha Luarnya, Teddy Locsin akan menghidupkan kembali pejabat Hal Ehwal Borneo Utara bagi menuntut Sabah.

Malaysia sudah menegaskan tidak akan mengiktiraf dan memenuhi tuntutan mana-mana pihak terhadap Sabah yang secara rasmi menjadi sebahagian daripada Malaysia ketika pembentukan negara itu pada tahun 1963.

Sementara itu, Anwar berkata dengan situasi pandemik Covid-19 ketika ini, kini bukan masanya untuk berpolitik dan memulakan provokasi.

“Ini merupakan masa untuk memberi tumpuan pada usaha memerangi Covid-19, membantu jutaan keluarga miskin dan golongan tidak berkemampuan yang terkesan oleh krisis ekonomi dan menentukan hala tuju dan masa depan baharu yang lebih aman dan makmur untuk rakyat Malaysia dan Filipina,” katanya.

Post a comment

0 Comments