Bekas CEO dakwa 1MDB untuk jaga Najib


SYARIKAT kontroversi 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah syarikat untuk menjaga kepentingan Najib Razak dan bagi menjana dana untuk parti Umno, kata seorang saksi.

Perkara itu didedahkan bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Saya mahu nyatakan di sini bahawa sejak awal lagi semasa menyertai 1MDB, dan diberitahu oleh Datuk Azlin (Datuk Azlin Alias, Ketua Setiausaha Sulit Najib) bahawa syarikat ini adalah untuk menjaga kepentingan Datuk Seri Najib dan parti Umno, saya memang mencurigai bahawa dana syarikat akan disalahgunakan," katanya dipetik laporan Bernama.

Bagaimanapun jelas Hazem, beliau ketika itu perpandangan dana-dana 1MDB yang disalahgunakan ini kemudian akan dipulangkan balik dalam jangka masa yang tertentu.

“Beberapa daripada jumlah wang dana untuk pelaburan akan digunakan untuk membiayai Umno, dan yang selainnya akan dilaburkan dengan harapan ia mendapat pulangan untuk menggantikan wang yang telah digunakan untuk Umno,” katanya dalam penyataan saksinya.

Najib, 67, kini berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Bekas perdana menteri itu turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Hazem dipetik laporan serupa turut berkata beliau mula memikirkan kembali peranan-peranan Jho Low, Jasmine Loo, dan Terence Geh (kedua-duanya pegurus kanan 1MDB) yang telah memanipulasikan pengurusan 1MDB.

Beliau yakin mereka ini tahu berkenaan perkara berkenaan dan sebab itulah mereka telah menghilangkan diri.

“Mereka inilah yang sangat aktif menguruskan hal-hal dokumentasi yang diperlukan.

“Semua perancangan yang dibuat adalah seolah-olah perancangan yang baik dan betul, tetapi saya memang merasa curiga apabila banyak dana diterbitkan melalui hutang dengan menggunakan alasan untuk membiayai projek.

"Malahan dana yang dipinjam juga ada yang melebihi daripada keperluan," jelasnya dipetik sebahagian laporan itu.

Mohd Hazem berkata beliau juga tidak pernah diberitahu tentang bagaimana perancangan atau pengurusan dana yang diterbitkan di luar negara akan digunakan ataupun dibelanjakan.

Post a comment

0 Comments