Bekas pembantu Rosmah panik, lari lepas BN kalah


BEKAS pembantu Rosmah Mansor mengaku dia melarikan diri dari Malaysia selepas Barisan Nasioal (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Ia didedahkan Rizal Mansor ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur siang tadi.

Jelasnya, dia melarikan diri kerana panik apabila mengetahui dua individu yang terbabit dalam projek hibrid solar kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Setelah saya mendapat tahu bahawa Saidi dan Rayyan ditahan SPRM, saya panik dan membuat keputusan melarikan diri ke Jakarta, Indonesia," katanya.

Saidi Abang Samsudin ialah Pengarah Urusan Jepak Holdings (Jepak),  manakala Rayyan Radzwill Abdullah pula rakan perniagaan Saidi.

Menurut Rizal lagi dia mendapat tahu SPRM mula menyiasat projek yang dikaitkan dengan Rosmah itu sejak Feb hingga Mac 2018.

Namun mengakui tidak berasa risau ia akan menjurus kepada dirinya berdasarkan status Rosamah adalah isteri perdana menteri ketika itu.

Bagaimanapun, kata Rizal, keadaan berubah apabila BN - yang diketuai Najib Razak - kalah kepada HARAPAN.

Rosmah, 68, berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal, sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Suria Fotovolta (PV) Hibrid serta penyelenggaraan dan operasi genset/diesel, untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1. 25 bilion dari Kementerian Pendidikan, secara rundingan terus.

Sebelumnya, Mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan Rosmah Mansor untuk melarang laporan media terdapat beberapa bahagian berkaitan kenyataan Rizal.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan itu  dengan tidak akan melarang media membuat laporan berkaitan keterangan Rizal.

Post a comment

0 Comments