Bekas Speaker DUN Perak meninggal dunia


BEKAS
Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dari tahun pada 1988 hingga 1990, Datuk Umar Ismail dilapor meninggal dunia pagi semalam.

Memetik laporan media tempatan, Allahyarham meninggal dunia pada usia 87 tahun di kediamannya di hadapan Masjid Jamek, Lenggong pada 5.50 pagi susulan sakit tua.

Menurut anaknya, Zainal,55, ayahnya sudah beberapa kali dimasukkan ke hospital sebelum ini dan kesihatannya semakin merosot selepas kematian ibunya, Jawahir Yaakob, tahun lalu.

"Ibu meninggal dunia selepas Aidilfitri tahun lalu dan sejak itu kesihatan arwah semakin merosot hingga dimasukkan ke hospital," jelasnya.

Jenazah selamat dikebumikan semalam
Difahamkan, jenazah selamat dikebumikan di sebelah pusara isterinya di Tanah Perkuburan Islam di pekarangan Masjid Jamek pada 2.20 petang semalam.

Umur merupakan seorang guru yang menceburi bidang politik.

Beliau mula bertanding di Parlimen Padang Rengas pada 1978 sebelum kerusi DUN Lenggong pada 1982 dan mempertahankan kerusi itu sehingga dilantik Speaker.

Allahyarham dilantik sebagai Speaker menggantikan Datuk Malek Ahmad yang menyertai Semangat 46 pada 1988 sebelum bersara pada 1990.

Post a comment

0 Comments