Berhenti guna retorik agama bawa perpecahan, tegas Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli politik agar tidak menggunakan retorik fanatik agama atau kaum untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Anwar, berkata begitu sebagai merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh yang membangkitkan rasa marah dikalangan penganut kristian baru-baru ini berhubung kitab Injil.

“Saat kita paculkan dialog antara umat Islam dan Kristian, ia sewajarnya dipaksikan pada semangat persaudaraan seperti yang ditegaskan Allah SWT yakni, “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu” (Surah Ali ‘Imran :64) yang menyeru persaudaraan atas asas mentaati Tuhan yang satu.

“Jika niat beliau adalah untuk mengajak orang ramai untuk memahami Islam, adalah mustahak untuk menggunakan “kebijaksanaan dan nasihat yang baik” (An-Nahl: 125) yang bermaksud saling menghormati antara satu dengan yang lain,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu. 

Rabu lalu, ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 di Dewan Rakyat minggu lalu, Zawawi berkata tidak ada agama yang mengizinkan penganutnya meminum arak, tetapi Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) meminta beliau membetulkan faktanya kerana agama lain seperti Kristian, membenarkan penganutnya minum arak, tetapi tidak sampai tahap memabukkan.

Ketua ulama PAS itu bagaimanapun bertegas “sebelum kitab Injil dipesongkan”, agama Kristian tidak membenarkan penganutnya minum sedikit arak pun.

Beliau juga enggan memohon maaf dan berkata penganut Kristian “tiada hak tersinggung” dengan kenyataannya.

Sementara itu menegaskan bahawa tindakan Zawawi itu kurang bijak, tidak peka dan mencerminkan pemahaman Islam yang rendah etika, ketika berbahas dengan penganut agama lain.

Tambahnya, jika perkataan Zawawi itu menimbulkan perseteruan dan kesalahfahaman, maka jalan terbaik adalah menonjolkan kerendahan hati dengan mengakui kemungkinan terdapat kesalahan dalam pendekatan itu.

Anwar menjelakan, Al Quran memerintahkan ‘fa yusari’una fil khayrat’ yang bermaksud berlumba-lumbalah dalam mengerjakan kebaikan.

“Kita mampu membawa dan mencipta kerukunan dengan memperteguh akhlak dan teladan Rasul yang menegaskan tentang aspek kasih sayang dan sikap belas kepada jiran-jiran kita tanpa mengira agama.

"Dan ini ditonjolkan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW melalui kata-kata dan sikapnya.

“Perdana Menteri dalam perutusan kemerdekaan menyatakan bahawa, “Bersatu padu dengan semangat waja, mari bersama kita pertahankan kemerdekaan negara” seharusnya mencerminkan komitmen beliau dalam memperkukuh perpaduan dan menolak faham kefanatikan,” ujar beliau.

Mengulas isu memandu dalam keadaan mabuk, Anwar tetap menegaskan bahawa ia satu kesalahan.

“Tidak harus ada yang terkecuali dari hukum, dan keadilan mesti ditegakkan,” katanya.

Post a comment

0 Comments