Berhentilah nafi salah Khairuddin - Penceramah


SEORANG
penceramah terkenal membidas sikap beberapa pemimpin PAS yang cuba mempertahan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali.

Pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Rozaimi Ramle dalam satu kenyataan di laman Facebooknya berkata, Khairuddin sememangnya bersalah, ia terbukti apabila ahli majlis Ulama PAS itu telah dikompaun oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Melalui muatnaik serupa, Rozaimi turut membidas tindakan mengaitkan Khairuddin dengan kisah hud-hud Nabi Sulaiman.

"Cukup-cukuplah nak wajarkan kesalahan menteri tidak ikut SOP untuk kuarantin. Dia pun telah dikompaun oleh KKM.

"Tidak perlu nak kaitkan kisah dia dengan kisah Hud-Hud di zaman Nabi Sulaiman.

"Jika beliau tidak salah masakan beliau dikompaun," kata Rozaimi dalam satu hantaran tersebut.

Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin menyifatkan kisah Khairuddin umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Kisah berkenaan menceritakan bagaimana burung hud-hud tidak mengikut arahan Nabi Sulaiman untuk mencari sumber air.

Hud-hud berkata kepada Nabi Sulaiman bahawa dia telah terbang untuk melakukan pengintaian dan menemui kerajaan mewah di Saba yang diperintah Ratu Balkis.

Nabi Sulaiman lalu mengampunkan hud-hud dan mengarahkannya terbang ke istana Ratu Balkis untuk menyampaikan surat dan memintanya tunduk kepada keesaan Allah.

Sebelum ini, Timbalan Presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man turut memberi hujahn mempertahankan Khairuddin.

Tuan Ibrahim mengaitkan tindakan Khairuddin itu dengan pemandu lori yang menghantar bekalan makanan ke negara jiran, Singapura yang kemudiannya dipertikai ramai.

"Tiap-tiap hari lori bawa sayur masuk Singapura, kena kuarantin ke tak? Tak kena kuarantin. Balik Singapura masuk Malaysia kena kuarantin ke tak? Tak kena," kata menteri Alam Sekitar dan Air itu dalam satu kuliah subuh yang disiarkan secara langsung di Facebooknya.

Post a comment

0 Comments