Binder dan Rossi ke pasukan Petronas musim depan


PASUKAN Petronas Sprinta Racing telah menandatangani pelumba Afrika Selatan, Darryn Binder dari pasukan CIP Green Power, untuk kejuaraan Moto3, musim depan.

Pasukan itu melalui satu kenyataan media berkatam Binder akan bersama pasukan itu selama setahun.

Pengarah pasukan Johan Stigefelt yang yakin kehadiran pelumba berusia 22 tahun itu dapat membantu pasukan itu mencapai lebih banyak kejayaan.

“Kami dapati beliau adalah pelumba yang agresif, berbakat dan cemerlang, terutama pada hari perlumbaan.

"Binder telah membuktikan dirinya sebagai antara prospek paling direbuti dalam kategori junior, sentiasa dalam aksi yang sengit sepanjang musim ini,” katanya.

Binder yang mencatatkan masa pusingan terpantas di GP Austria tahun ini berkata beliau gembira dapat bekerjasama dengan pasukan berpengkalan di Malaysia itu.

"Secara peribadi, saya berpendapat bahawa ini adalah peluang terbaik untuk terus berada pada kedudukan terbaik.

"Sasaran kita adalah untuk memberi saingan supaya sentiasa berada pada kedudukan teratas dalam setiap perlumbaan," kata Binder, yang meraih tempat kedua di GP Argentina 2019.

Ketika ini, pasukan Petronas Sprinta Racing, diwakili oleh John McPhee dari Great Britain dan pelumba negara, Khairul Idham.

Tidak dapat dipastikan siapa akan digugurkan dari pasukan itu pada musim depan.

Dalam perkembang sama, Juara dunia MotoGP tujuh kali, Valentino Rossi mengulangi komitmennya untuk menyertai pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) untuk musim depan.

“Saya akan berlumba bersama Petronas (Yamaha SRT) tahun depan, dan saya ingin mengatakan ia sudah 99 peratus sebab belum ditandatangani lagi,” katanya yang dipetik menerusi sidang media praperlumbaan menjelang GP San Marino hujung minggu ini.

Prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT Datuk Razlan Razali sebelum ini memaklumkan Rossi hampir pasti menyertai pasukan itu, namun  perjanjian mengenainya belum ditandatangani.

Penyertaan rasmi Rossi ke Yamaha SRT dijangka akan  diumumkan pada GP Catalunya pada 27 September ini.

Post a comment

0 Comments