Duch, si pembunuh kejam rejim Khmer Rouge meninggal dunia


INDIVIDU yang bertanggungjawab melakukan penyeksaan terhadap tahanan semasa rejim Khmer Rouge berkuasa di Kemboja dari tahun 1975 hingga 1979 meninggal dunia pada Rabu.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan Kaing Guek Eav yang lebih dikenali sebagai Duch meninggal dunia pada usia 77 tahun di Hospital Phnom Penh.

Jurucakap kerajaan, Neth Pheaktra berkata, Duch yang dimasukkan ke hospital sejak Isnin lepas meninggal dunia tengah malam Rabu.

Lelaki tersebut masuk dan keluar hospital selama bertahun-tahun kerana mengalami masalah paru-paru yang serius, kata sumber.

Lahir pada 1942, Duch adalah bekas guru matematik, pernah bertugas sebagai ketua penjara Tuol Sleng dan didakwa menjadi penyiksa utama untuk rejim itu ketika mereka berkuasa .

Duch adalah anggota pertama Khmer Rouge yang berdepan penghakiman di hadapan pengadilan jenayah perang di Kemboja. Dia kemudian disabitkan bersalah atas jenayah kemanusiaan oleh pengadilan jenayah perang yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana peranannya dalam rejim itu dan dimasukkan ke penjara di Kandal.

Semasa pemerintahan rejim tersebut, kebanyakan kakitangan di penjara dikawal Duch adalah remaja lelaki tidak berpendidikan kerana mudah didoktrin.

Dalam satu kenyataan kepada mahkamah,  Duch mengakui bahawa dia hanya menurut perintah ketika melakukan semua pembunuhan itu.

Rejim tersebut difahamkan telah membunuh ribuan rakyat Kemboja ketika mereka berkuasa selama tempoh lima tahun itu.

Post a comment

0 Comments