Elak Covid-19, KEADILAN hadkan kempen tradisi


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengguna pendekatan berkempen melalui media sosial pada Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah kali ini.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, langkah itu bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19 susulan kebimbangan peningkatan kes dicatatkan di negeri itu.

Bagaimanapun jelasnya kempen turun padang tetap diteruskan dengan program dihadkan.

"Dalam keadaan Covid-19 ini, mana-mana parti politik perlu guna kaedah baharu yang bersesuaian dengan norma baharu

"Kempen tradisi (turun padang) masih berjalan cuma dikurangkan, contohnya kita tak boleh nak buat ceramah mega seperti kebiasaan," katanya dipetik Sinar.

Menurut beliau, pihaknya berpandangan PRN mahupun Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai diadakan dalam keadaan Covid-19 sekarang namun keadaan itu tidak dapat dielakkan.

"Sepatutnya kerajaan Sabah dikekalkan namun tergugat selepas timbul isu dakwaan tawaran dan imbuhan menyebabkan PRN tidak dapat elakkan," katanya.

Fahmi turut mengingatkan bahawa semua pihak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak kluster PRN.

Beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menggunakan cara baharu bagi mengelak warga Sabah yang bekerja di Semenanjung dapat mengundi tanpa merentas negeri.

"Sepatutnya SPR boleh usahakan pengundi dari luar Sabah boleh buat undi pos, tapi itu tidak dapat dilaksanakan untuk masa terdekat ini.

"Saya berharap perkara itu dapat diteliti untuk keperluan pada masa akan datang," katanya yang menyasarkan 70 hingga 75 peratus rakyat Sabah keluar mengundi.

SPR menetapkan 26 September ini untuk PRN Sabah dengan penamaan calon dijalankan hari ini, manakala undi awal pada 22 September.
 

Post a comment

0 Comments