Gangguan bekalan air di S'ngor selesai


SEMUA Kawasan yang terjejas dengan gangguan air tidak berjadual di negeri Selangor minggu lalu dilapor telah pulih sepenuhnya.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri dalam kenyataan hari ini berkata, tujuh wilayah itu ialah Wilayah Klang atau Shah Alam; Petaling; Kuala Langat; Hulu Selangor; Kuala Selangor; Gombak; dan Kuala Lumpur.

“Air Selangor mengucapkan ribuan terima kasih di atas kesabaran pengguna sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

"Sentiasa gunakan air dengan berhemat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan tujuh pagi ini.

Sebelum ini, berlaku henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, ia susulan pencemaran di Sungai Gong di Rawang yang dipercayai berpunca dari sebuah kilang berhampiran.

Lebih 1.2 juta akaun pengguna di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air sejak Khamis.

Sementara itu, Air Selangor turut menyarankan pengguna untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di ‘Google Play’ atau ‘Apps Store’, untuk informasi terkini bekalan air.

Pengguna juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram Air Selangor, atau layari laman sesawang www.airselangor.com untuk pertanyaan dan bantuan.
 

Post a comment

0 Comments