GP San Marino: Petronas juara MotoGP dan Moto3


PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT), Franco Morbidelli membuktikan kehebatannya apabila muncul pemenang Grand Prix (GP) San Marino, semalam.

Pelumba dari Itali berusia 25 tahun itu menamatkan perlumbaan 27 pusingan di Litar Dunia Misano untuk berada di hadapan Francesco Bagnaia (+ 2.217s) dan Joan Mir (+ 2.290s) masing-masing dari Team Suzuki Ecstar dan Pramac Racing.

Morbidelli yang dinobatkan sebagai Rookies Of The Year pada 2018 itu merupakan antara pelumba yang berjaya merangkul kemenangan julung bagi perlumbaan musim ini selain Brad Binder dari Afrika Selatan (Red Bull KTM Factory Racing) dan Miguel Oliveira dari Portugal (Red Bull KTM Tech 3).

Sementara itu, nasib malang menimpa rakan sepasukan Morbidelli. Fabio Quartararo yang sebelum ini memenangi dua perlumbaan dan menjadi pendahulu kejuaraan gagal menamatkan perlumbaan sekaligus kedudukan pendahulu kini disandang pesaingnya dari pasukan Ducati, Andrea Dovizioso.

Dovizioso kini merangkul 76 mata berbanding Quantararo yang kini berada di tempat kedua dengan ketinggalan enam mata.

Sementara itu dalam kelas Moto3, pelumba pasukan Petronas Sprinta Racing John Mcphee dari Great Britain muncul juara dalam perlumbaan penuh dramatik.

Mcphee yang memulakan perlumbaan dari petak ke-17 menamatkan perlumbaan semalam dengan catatan masa 39:48.952s dihadapan Ai Ogura (Honda Team Asia) dan Tatsuki Suzuki (SIC58 Squadra Corse).

"Saya tahu ia agak sukar untuk mara ke depan. Seawal pusingan pertama saya sudah memintas ke kedudukan ke-11, jadi saya terus tenang dan mencari peluang untuk ke depan. Saya amat gembira! Ia suatu impian menjadi kenyataan untuk berada di kedudukan teratas di sini selepas menghadapi pelbagai masalah pada perlumbaan lepas (di GP Austria)," kata Mcphee.

Khairul Idham Pawi, yang kembali beraksi selepas menjalani pembedahan jari kelengkeng tangan kanan menamatkan perlumbaan di tempat ke-21.

Selain Khairul Idham, dua lagi pelumba negara tidak menunjukkan pencapaian membanggakan pada perlumbaan kali ini.

Kasma Daniel Kasmayudin dari Onexox TKKR SAG Team menamatkan saingan di tempat ke-20 dalam perlumbaan kelas Moto2, manakala, Hafizh Syahrin Abdullah (Oceanica Aspar Team) yang kembali beraksi selepas kemalangan ngeri dalam GP Austria pada 16 Ogos lepas gagal menamatkan perlumbaan berbaki empat pusingan.

Bagi kelas Moto2, perlumbaan dimenangi Luca Marini dari pasukan SKY Racing Team VR46, manakala rakan sepasukannya Marco Bezzecchi ditempat ke-2 dan pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini di tempat ke-3.

Marini kini mengungguli pelumbaan sebagai pendahulu dengan 112 mata berbanding Bastianini dengan 95 mata dan Bezzecchi (85 mata)

Post a comment

0 Comments