KEADILAN fokus menang semua kerusi ditandingi


KEADILAN
Sabah kini menumpukan fokus untuk memenangi semua kerusi yang dipertandingkan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Pengerusinya, Christina Liew berkata mereka berpuas hati dengan jumlah kerusi diperuntukkan dan akan mula merancang strategi untuk menang.

“Kita telah melalui 3 fasa. Pertama  kami mengadakan perbincangan dalam kalangan kami. Kedua, kami berbincang dengan rakan parti lain, dan ketiga ialah kami di sini sekarang.

“Sekarang kami berada dalam fasa ketiga dan saya tidak akan menjawab sebarang soalan selain dari fasa ketiga ini. Selepas hari ini, kita akan duduk bersama dengan semua pemimpin PKR Sabah, ketua-ketua cabang dan kita akan rancang strategi untuk maju ke depan,” kata pada sidang media selepas menyampaikan watikah kepada calon parti itu di pejabat Penampang semalam.

Pada PRN kali ini, KEADILAN bakal meletakkan dua muka baharu iaitu iaitu Alijus Sipil yang akan bertanding di Tamparuli dan Peto Galim yang akan mempertahankan kerusi Inanam, yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Christina akan mempertahankan kerusi Api-Api yang dimenanginya, manakala Ketua Pemuda PKR Sabah, Raymond Ahuar, mencuba nasib di Sook.

Selain itu,  Mustapha Sakmud bakal bertanding di Tempasuk, Sazalye Donol Abdullah (Matunggong) dan Abdul Rahman (Klias).

Untuk rekod, selain Api-Api, KEADILAN memenangi kerusi Inanam melalui Kenny Chua.

Bagaimanapun Kenny dipecat selepas beliau menyokong Musa Aman untuk menjadi ketua menteri pada Julai lalu.

Sementara itu, Christina berkata, KEADILAN negeri yakin tidak akan ada unsur sabotaj terhadap calon Warisan Plus walaupun mereka hanya mendapat 7 daripada 14 kerusi yang diumumkan sebelum ini.
 

Post a comment

0 Comments