KEADILAN Sabah setuju pembahagian kerusi PRK


PARTI
Keadilan Rakyat (KEADILAN) negeri Sabah bersetuju untuk bertanding di tujuh kerusi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) negeri itu.

Pengerusi KEADILAN Sabah Christina Liew berkata keputusan tersebut dicapai hasil perbincangan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dengan Parti Warisan Sabah (Warisan).

"Keputusan itu disahkan oleh Presiden KEADILAN (Anwar Ibrahim) dan setiausaha agung parti (Saifuddin Nasution Ismail) untuk menyokong keputusan pemimpin tempatan demi kepentingan terbaik Sabah," katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, tujuh kawasan itu ialah Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Api-Api, Klias dan Sook.

Kata Liew, mereka gembira dapat bekerjasama dengan Warisan, DAP, Upko dan Amanah untuk memastikan gabungan itu kekal sebagai pakatan yang strategik, stabil dan padu mempertahankan mandat rakyat.

"Kami berpegang teguh pada kepercayaan dan kerjasama yang sudah ada dari semua sekutu dalam gabungan ini.

"Walaupun keputusan pada tahap ini adalah menggunakan logo PKR, kami berharap pengundi Sabah terus memberikan sokongan mereka kepada gabungan ini," tambahnya lagi.

Untuk rekod, Anwar ketika berucap merasmikan Jentera Pilihan Raya KEADILAN Sabah di Kota Kinabalu sebelum ini berkata, selepas isu kerusi diselesaikan, semua parti sekutu perlu bekerja sebagai satu pasukan yang kuat.

Jelasnya, menjadi tanggungjawab kepada parti itu untuk memilih calon-calon berwibawa dan berintegriti untuk membela nasib rakyat.

Parti pada dasarnya turut bersetuju memberikan lebih banyak kebebasan diberikan untuk KEADILAN Sabah memilih calon bagi menghadapi pilihan raya itu.

Post a comment

0 Comments