Keluarga Prebet Abdul Aziz gesa jangan buat andaian


AHLI  keluarga anggota tentera, Abdul Aziz Aznam, 20, yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga kuarters di Kem Majidee melahirkan rasa sedih dengan sikap segelintir masyarakat.

Ia susulan tindakan pihak yang membuat pelbagai andaian termasuk mengaitkan kejadian menimpa Abdul Aziz dengan tindakan bunuh diri.

"Kami sedang melalui saat yang sukar, jadi saya harap masyarakat tidak membuat spekulasi mengenai kejadian itu.

"Emosi mak masih belum stabil dan kami sendiri tidak berapa pasti apa sebenar yang berlaku, jadi kita tunggu sajalah siasatan lanjut nanti," katanya.

"Ada beberapa laporan polis yang kami buat kerana mahu keadilan ditegakkan dalam kes ini, jadi saya harap orang ramai dan pihak-pihak tertentu hentikan spekulasi mengenai kejadian itu.," kata Kakak Allahyarham, Azlinna Aznam, 25.

Allahyarham Abdul Aziz menghembus nafas terakhir pada jam 2.30 petang semalam selepas sembilan hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNI akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan pada jam 2.30 pagi tadi diiringi istiadat ketenteraan.

Abang Allahyarham, Mohamad Amirulnaim Aznam, 23 berkata, Abdul Aziz pernah menyatakan hasrat berhenti daripada berkhidmat dalam pasukan tentera kerana tidak tahan kena 'ragging'.

Sementara itu, Azlinna turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pegawai dan anggota Tentera Darat yang membantu melancarkan proses pengebumian adik bongsunya itu.

"Dari awal hingga selesai kebumi, semuanya diuruskan oleh Tentera Darat, mewakili keluarga saya ucapkan terima kasih kerana permudahkan urusan arwah," katanya.
 

Post a comment

0 Comments