Kemana RM50 juta?: Prabakaran lapor Zuraida ke SPRM


AHLI Parlimen kawsan Batu, P. Prabakaran membuat laporan salah guna kuasa dan salah laku rasuah ke atas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Ia berhubung isu projek sisa pepejal menerusi rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Wilayah Persekutuan itu sebelumnya mempersoalkan kemana hilangnya peruntukan kerajaan berjumlah RM50 juta bagi projek pembinaan stesen tersebut.

“Di manakah perginya RM50 juta? Senarai Projek Runding Terus ini telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini dan telah dijawab oleh Zuraida bahawa beliau tidak tahu perkara ini.

“Amat mengelirukan kerana menteri telah pun merasmikan Taman Mini ketika lawatan kerja ke Transfer Station pada 10 Disember 2019,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semalam.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengeluarkan senarai Projek Rundingan Terus ketika era pentadbiran HARAPAN.

Antaranya ialah Projek Stesen Pemindahan Sisa Pepejal yang pada asalnya telah dianugerahkan kepada satu syarikat berjumlah RM170 juta secara runding terus dan kemudian syarikat tersebut telah memberikan sub kepada syarikat lain dengan harga sebanyak RM120 juta.

Zuraida tampil memberi alasan tidak mengetahui mengenainya. Bagaimanapun media melaporkan lawatan Zuraida ke stesen itu di Taman Beringin, Kepong pada 10 Disember 2019.

Sementara itu, Prabakaran juga menyifatkan penafian Zuraida itu sebagai mengelirukan.

Ini kerana Ahli Parlimen Ampang itu sendiri memuat naik lawatan ke stesen itu di Facebooknya pada 10 Disember 2019.

“Di laman rasmi Facebook Zuraida Kamaruddin bertarikh 10 Disember 2019,  menteri memaklumkan KPKT akan membina satu stesen pemindahan sisa pepejal baharu bagi menggantikan stesen pemindahan sedia ada di Taman Beringin, Kepong,” dakwanya.

Sehubungan itu, Prabakaran menggesa SPRM menyiasat sejauh mana kebenaran projek itu membabitkan Menteri Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu.

“Tujuan laporan ini dibuat agar pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang sekiranya ada salah laku yang dilakukan oleh Zuraida selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan individu-individu lain.

“Ini kerana perkara ini melibatkan dana kerajaan sebanyak RM170 juta,” katanya.

Post a comment

0 Comments