Khairuddin harus berani diheret ke mahkamah


Oleh LIM GUAN ENG | Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Mohd Khairuddin Aman Razali masih tidak mahu mengakui wujudnya double standard atau “antara dua darjat”, bila dia dikenakan kompaun “manja” RM1,000 kerana melanggar peraturan kuarantin kendiri Covid-19 di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu.

Sedangkan mak cik tua berumur 72 tahun dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjarakan.

Khairuddin kemudian mempersoalkan kelayakan saya untuk berbicara soal moral dalam kesalahannya kerana saya didakwa oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

Sekiranya ini standard baru Khairuddin, maka beliau juga harus mempersoalkan kelayakan mantan perdana menteri Najib Razak atau presiden Umno Zahid Hamidi membuat ulasan atas isu negara kerana mereka juga didakwa SPRM di mahkamah.

Malah Najib telah pun disabitkan bersalah oleh mahkamah dengan dikenakan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Khairuddin ibarat menconteng arang di muka sendiri dengan terus bersama kedua-dua pemimpin Umno dalam Muafakat Nasional.

Sebagai pemimpin, Khairuddin harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan tidak melakukan kesalahan yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang.

Itulah sebabnya begitu ramai menteri-menteri di luar negara meletakkan jawatan kerana melakukan kesalahan yang sama, iaitu melanggari peraturan keselamatan melawan Covid-19.

Perkara yang lagi tidak bermoral ialah kemelut “antara dua darjat” atau double-standard, apabila orang kenamaan (VIP) seperti menteri dikenakan kompaun “manja” RM1,000, sedangkan rakyat biasa dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjara.

Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani meminta dihadapkan ke mahkamah sama seperti nak cik tua yang berumur 72 tahun itu.

Khairuddin sebagai wira?

Bukan sahaja Khairuddin, PAS juga tidak mahu mengakui bahawa kompaun “manja” RM1,000 itu menampakkan “antara dua darjat” atau double-standard yang tidak bermoral.

Sebaliknya PAS menganggap Khairuddin sebagai seorang wira, sungguhpun Khairuddin dan keluarganya melakukan kesalahan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu selepas kembali daripada Turki.

Tambahan pula PAS juga menyalahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri sebagi cuai atas kesalahan yang dilakukan oleh Khairuddin.

Pendirian PAS ini tidak masuk akal sehingga sampai hati menuduh Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia, menunjukkan betapa terpesongnya sistem nilai dalam PAS.

DAP tidak bersetuju dengan PAS yang mengangkat Khairuddin sebagai wira.

Seorang wira adalah seseorang yang mendedikasikan hidupnya untuk melindungi orang lain dalam usaha menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik.

Selama wabak coronavirus ini, masyarakat umum mengiktirafkan doktor, jururawat, pekerja pembersihan hospital, tentera dan polis sebagai wira sebenar.

Itulah perbezaan antara DAP dan PAS.

DAP menganggap wira sebenar adalah anggota Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan manakala PAS memilih Khairuddin.


LIM GUAN ENG ialah bekas Menteri Kewangan pada era Pakatan Harapan (HARAPAN), beliau juga merupakan Ahli Parlimen Bagan.

Tulisan ini pertama kali disiar di portal Malaysiakini dan tidak mencerminkan pendirian Kartelmedia

Post a comment

0 Comments