Khalid ajak tolak golongan pengkhianat


RAKYAT
Malaysia diajak menghayati erti kemerdekaan dengan menolak golongan mahu berkuasa yang membelakangi hak dan pilihan rakyat.

Melalui satu kenyataan yang disiar portal Malaysia dateline sempena sambutan hari kebangsaan semalam, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu berkata, kerajaan yang mentadbir negara kini bukan kerajaan pilihan rakyat.

Khalid dipercayai merujuk kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk dari pengkhianatan beberapa bekas pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang berpaling tadah yang keasbahannya sebelum ini dipersoal.

“Hanya warna kulit sahaja berbeza, namun tingkah laku dan sikap mengenepikan kehendak rakyat adalah seperti penjajah!” tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Khalid mengingatkan, perkara terpenting dengan tercapainya kemerdekaan adalah berjaya membebaskan negara dari dikuasai pihak asing dan rakyat sendiri dapat menentukan hala tuju negara mereka.

Ia tegasnya termasuk dengan kebebasan untuk memilih pemimpin sesuai dengan sistem demokrasi diamalkan.

“Rakyat bebas untuk memilih pemimpin mereka, dari kalangan rakyat untuk melaksanakan rancangan pembangunan yang dipilih rakyat.

“Rakyat akan menjadi penentu dalam semua hal. Ini antara nikmat kemerdekaan,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam itu mengajak rakyat berikrar untuk benar-benar merdeka dengan menolak budaya politik khianat.

Hal tersebut menurutnya penting supaya nikmat terbesar kemerdekaan tidak akan lagi terlepas dari tangan rakyat.

Post a comment

0 Comments