K'jaan Selangor perihatin kakitangan Masjid dan Surau

 
KERAJAAN
Negeri Selangor pimpinan KEADILAN mengambil langkah segera bagi memastikan elaun bulanan kakitangan masjid dan surau di negeri itu kekal.

Ia susulan surat rasmi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai langkah pelarasan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tempoh Mei hingga Disember yang menyaksikan elaun diterima kakitangan terbabit akan berkurangan.

Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, elaun tambahan petugas masjid yang dibayar bermula 2003 adalah daripada hasil kutipan zakat LZS setiap tahun.

Akibat Covid-19, kutipan zakat mencatatkan penurunan mendadak hampir 20 peratus hingga menyebabkan beberapa pelarasan sementara perlu dibuat.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi menampung jumlah elaun yang kurang tersebut agar mereka yang terlibat tidak merasa terbeban.

Keputusan dibuat selepas mendengar taklimat Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop

"Pelarasan itu dibuat mengambil kira keperluan menyalurkan hasil kutipan zakat kepada golongan asnaf yang terhimpit susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Namun, kerajaan negeri membuat keputusan elaun petugas masjid dan surau ditetapkan pada kadar asal selepas mengambil kira keperluan petugas itu.

"Kerajaan negeri akan menanggung implikasi kewangan sebanyak RM3 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, kakitangan terlibat dengan  pengurangan elaun membabitkan ialah nazir dan timbalannya, setiausaha, bendahari, bilal serta siak.

Difahamkan kakitangan terbabit kini tidak terkesan dengan pelarasan dilaksana LZS itu dan mereka bakal mendapat jumlah elaun sama seperti sebelum pelarasan dilaksanakan.

Post a comment

0 Comments