KL dilanda banjir kilat


BEBERAPA kawasan di ibu kota dilanda banjir kilat petang tadi susulan hujan lebat yang turun lebih dua jam.

Melaui gambar dan video yang tular di media sosial, jalan utama di sekitar Masjid India di Lebuh Ampang dinaiki air menyebabkan beberapa kenderaan ditenggelami air dan laluan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Jalan Semarak, Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing, Kampung Semarak turut dilapor mengalami banjir kilat.

Masjid India yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak kelihatan seolah-olah terapung.

Motosikal ditenggelami banjir
Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dipetik berkata, pihaknya menerima tiga panggilan kecemasan antara 4.25 hingga 5.26 petang.

"Lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah, Titiwangsa, Jalan Tun Razak, Setapak dan Keramat membabitkan 17 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Pemantauan dilakukan di Lebuh Ampang mendapati banjir kilat setinggi 1.5 meter namun tiada mangsa terbabit," kata Jabatan Bomba dalam kenyataan hari ini.

Pengguna laman sosial turut berkongsikan video tindakan anggota bomba mengalihkan motosikal yang ditenggelami air ke tempat lebih selamat.

Sementara itu difahamkan, anggota penyelamat masih membuat pemantauan keadaan di lokasi banjir bagi memastikan keselamatan orang awam.

Post a comment

0 Comments