Laporan: Najib tak menyesal


HAKIM dalam perbicaraan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib Razak menyifatkan bekas perdana menteri itu tidak menyatakan penyesalan walaupun didapati bersalah atas 7 pertuduhan rasuah membabitkan RM42 juta.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang dipetik laporan FMT berkata, dalam mitigasinya pada 28 Julai lalu, Najib malah mempertahankan beliau tidak tahu mengenai RM42 juta itu.

“Beliau juga menyatakan tidak tahu mengenai RM42 juta itu,” kata Nazlan dipetik penghakiman bertulisnya yang terbit semalam.

Nazlan berkata, pensabitan Najib atas semua 7 tuduhan salah guna kedudukan, pecah amanah dan pengubahan wang adalah pengkhianatan mutlak.

Atas sebab itu, katanya, beliau menganggap pensabitan salah guna kedudukan bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebagai kesalahan paling serius antara ketiga-tiga kesalahan itu memandangkan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika kesalahan itu dilakukan.

Nazlan berkata, semua kesalahan yang disabitkan secara jelas melibatkan perancangan dan pertimbangan dalam tempoh masa tertentu.

Walaupun tidak menafikan sumbangan Najib sepanjang 9 tahun menjadi perdana menteri, namun mahkamah tidak dapat bertolak ansur kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

“Dalam sejarah politik, sama ada beliau lebih banyak melakukan kebaikan berbanding kerosakan akan terus diperdebatkan, tetapi proses itu tidak sesuai dengan ideal pentadbiran yang bersih dan tidak bertolak ansur dengan rasuah dan salah guna kuasa.

“Apa yang mahkamah mahu tegakkan adalah kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

“Tidak ada seorang pun – bahkan tokoh politik paling berkuasa dan pemimpin negara – kebal undang-undang,” katanya dipetik laporan itu.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana penyalahgunaan kuasa dan 10 tahun bagi setiap 3 tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang.

Bagaimanapun, hakim mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Najib hanya dipenjarakan 12 tahun.

Post a comment

0 Comments