Lelaki maut Exora masuk longkang


SEORANG
lelaki dilapor maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya bersama keluarga terbabas ke dalam longkang.

Dalam kejadian di Kilometer 7 Jalan Kampung Koh-Ayer Tawar, di Setiawan kira-kira jam 10.30 pagi semalam, isteri mangsa dan empat anak mereka cedera

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan awal mendapati Proton Exora dinaiki lima beranak itu dalam perjalanan dari Kampung Koh menghala ke Ayer Tawar.

Menurutnya, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam longkang menyebabkan pemandu parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Isteri mangsa berusia 35 tahun dan tiga anaknya hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM) untuk rawatan.

"Mayat mangsa turut dihantar ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya dipetik laporan Metro.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dikejarkan ke lokasi untuk bantuan.

Katanya, mereka menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit sebelum mayat diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu jelas Nor Omar, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Post a comment

0 Comments