Letak jawatan jika tak saman pencemar sungai


KILANG
yang menjadi punca pencemaran air di Sungai Gong, Rawang sudah diarah untuk ditutup serta diminta mengosongkan tanah.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang akan diserahkan kepada pemilik berkenaan, yang ketika ini mengusahakan kilang membaiki jentera berat.

Sementara itu, seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan penubuhan sebuah pihak berkuasa perlindungan sungai.

Anggota Parlimen Klang Charles Santiago menegaskan bahawa badan itu perlu mewujudkan kawasan penampan seluas 300 hingga 400 meter di sekitar sungai, di mana tiada kegiatan perniagaan boleh dilakukan di dalamnya.

"Kerajaan perlu menubuhkan Lembaga Perlindungan Sungai Negara dengan kadar segera. Badan itu kemudian perlu mewujudkan zon penampan seluas 300 hingga 400 meter.

"Polis dan badan penguatkuasa lain boleh ditugaskan untuk memantau kawasan itu dengan bantuan CCTV dan teknologi lain," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tindakan tidak bertanggungawab pemilik kilang itu menyebabkan pencemaran sehingga berlaku pincang tugas di loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan lebih 1.2 juta pemegang akaun (bekalan air) di sekitar Selangor.

Berbanding isu pencemaran di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang, Johor sebelum ini yang sasaran kemarahan diletak ke atas kerajaan Persekutuan pimpinan HARAPAN ketika itu, pencemaran di Sungai Gong dilihat hanya dibebankan kepada kerajaan negeri Selangor.

Untuk rekod, isu pencemaran sungai terletak dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan berdasarkan Akta Alam Sekitar 1974. Situasi itu menyebabkan kuasa kerajaan negeri terhad.

Namun, pihak tertentu menjadikan ketidakpatuhan pemilik kilang sebagai modal serangan kepada kerajaan negeri.

Sementara itu,  Charles menggesa kerajaan persekutuan menimbang untuk mewartakan undang-undang yang memberikan hukuman berat kepada syarikat yang menceroboh kawasan penampan tersebut.

Malah mencabar kerajaan persekutuan supaya menyaman syarikat yang bertanggungjawab.

Tambah Santiagi, sekiranya kerajaan gagal menyaman syarikat terbabit dalam tempoh 1 bulan, maka Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man perlu meletak jawatan.

“Ia berkaitan tindakan yang akan benar-benar menginsafkan mereka. Mengenakan denda sebanyak RM60,000 misalnya tidak menghalang syarikat besar daripada mencemarkan laluan air.

“Kerajaan perlu bertindak sekarang sebagai peringatan keras supaya semua pihak mengurus sisa mereka dengan cekap dan berkesan atau syarikat tidak akan berhenti daripada mencemari sungai dan sumber air,” katanya.

Post a comment

0 Comments