Lim Guan Eng cabar Zuraida buktikan


BEKAS
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan telah meluluskan Projek Sisa Pepejal Taman Beringin (PSPTB) secara rundingan terus tanpa pengetahuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin.

Melalui satu kenyataan Lim menegaskan, adalah mustahil bagi seseorang Ketua Setiausaha (KSU) sesebuah kementerian menghantar surat untuk mana-mana projek rundingan terus (RT) tanpa pengetahuan menterinya.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, perkara itu sudah menjadi amalan sejak sekian lama untuk  kementerian membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan.

"Saya ingin tegaskan bahawa amalan biasa ialah kementerian yang bertanggungjawab (iaitu KPKT) akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk mana-mana projek RT dijalankan.

“Justeru, semestinya akan ada surat daripada KPKT kepada MoF. Surat permohonan KPKT kepada MoF tersebut sepatutnya dihantar pada tahun 2018 oleh Ketua Setiausaha (KSU) KPKT memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar sebanyak RM170.3 juta.

“KSU KPKT tidak mungkin menulis surat rasmi pada tahun 2018 kepada MoF tanpa pengetahuan atau restu menterinya iaitu Zuraida,” katanya dalam satu kenyataan.

Zuraida sebelum ini mendakwa dua projek runding terus iaitu Projek Sisa Pepejal Taman Beringin atau PSPTB (bernilai RM170,294,400.00) dan Sistem Perisian Perakaunan Century (bernilai RM501,206.37) di kementeriannya diluluskan sendiri oleh Guan Eng selaku Menteri Kewangan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika itu.

Projek itu menurutnya lagi diluluskan Lim Guan Eng melalui surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha (KSU) KPKT.

"Kononnya sayalah yang meluluskan PSPTB pada 20 Februari 2019 sebanyak RM170.3 juta tanpa pengetahuannya. Ini perkara yang mustahil.

"Sila dedahkan juga surat kepada KPKT daripada Kementerian Kewangan atau daripada saya, kalau ada. Saya berharap Zuraida boleh mendedahkan surat-surat yang berkaitan agar rakyat dapat menilai sendiri kebenarannya.

"Janganlah sorok-sorok, sembunyikan fakta, menutup kebenaran atau lari daripada hakikat sebenarnya," tegas Setiausaha Agung DAP.
 

Post a comment

0 Comments