Lokanathan lapor SPRM, dakwa Senator seleweng tanah


BEKAS
Ketua MIC Bahagian Sungai Siput M. Lokanathan tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

Ia bagi membuat laporan berhubung penjualan tanah ladang sawit milik sebuah koperasi seluas 114 ekar (45.6 hektar) di Sungai Siput, Perak yang didakwa diseleweng seorang Senator dan bapanya bagi tujuan politik dan keuntungan.

Senator tersebut dakwanya telah secara senyap telah memindah milik tanah itu kepada dua syarikatnya melalui kroni.

Tanah ladang itu pada awalnya diwujudkan bagi kepentingan pekerja ladang Dovenby dan tanah tersebut sepatutnya dibangunkan sebagai perumahan untuk ahli koperasi dan masyarakat.

"Ini yang bapa pemimpin itu janji, iaitu ketika menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2004.

“Koperasi bersetuju menjual tanah itu pada harga kurang dari nilai pasaran atas permintaan bapa pemimpin berkenaan yang merupakan bekas presiden parti itu," tambah Lokanathan.

Difahamkan tanah itu telah dipindah milik kepada sebuah syarikat pada 2005 pada harga RM11,280  seekar sedangkan harga pasaran pada ketika itu ialah RM68,000.

“SPRM diminta menyiasat perkara ini kerana kita percaya wujud penyelewengan,” katanya lagi.

Menurut M. Lokanathan, beliau telah membuat sekurang-kurangnya tiga laporan kepada SPRM iaitu 19 September 2016, 28 Februari 2017 dan 8 Mac 2019 minta membuka kertas siasatan.

Namun, sehingga kini beliau tidak tahu sama ada SPRM mengambil tindakan atau tidak berhubung tiga laporan itu.

Sementara itu Lokanathan mendakwa, pada 16 Mac 1999, ayah Senator tersebut selaku Pengerusi Koperasi telah menjual dua bidang tanah yang dikhaskan kepada ahli dan penduduk Taman Tun Sambanthan dengan balasan sebanyak RM100,000.

“Sedangkan, nilai tanah itu adalah lebih dari RM2 juta, tetapi dijual kepada salah satu syarikat milik mereka pada harga teramat rendah dan murah," katanya.

Malah sebuah pusat konvensyen telah dibina di atas tanah itu dengan kerajaan dimana syarikat berkenaan mengaut keuntungan dengan menjalankan perniagaan sewa bangunan kepada penduduk dan ahli koperasi dengan bayaran RM3,500 sehari.

“Kemudian syarikat itu telah memberikan satu perjanjian jual beli serta dokumen berkaitan kepada seorang individu perempuan pada 1 Ogos 2013 dengan balasan sejumlah RM750,000, sedangkan nilai harga pasaran ketika itu adalah RM6 juta termasuk tanah keluasan hampir satu ekar di Jalan Pari, Taman Pari, Ipoh,” katanya.

BACA:
Lokanathan dakwa tapak surau, dipindah ke syarikat berkaitan MIC

Tegas beliau, kegiatan salah laku yang dilakukan oleh parti politik telah mewujudkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum India, yang mana mereka telah hilang kepercayaan sama sekali terhadap pemimpin yang salah guna kuasa.

Post a comment

0 Comments