Mahfuz sifatkan kenyataan Adun PAS sebagai bahaya

 
KENYATAAN
seorang perwakilan PAS Kelantan, Hassan Mohamood yang seolah-olah mengancam ahlinya dengan hukuman bunuh yang dipetik dari sebuah hadis dikritik bekas pemimpin parti itu.

Datuk Mahfuz Omar yang kini adalah Naib Presiden Amanah berkata, pemimpin PAS itu tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang dianggap bercanggah dengan prinsip demokrasi negara.

Kenyataan Hassan itu jelasnya telah memberi gambaran tentang bahayanya apabila kuasa politik dikuasai oleh PAS.

“Ini memberikan satu gambaran kepada kita semua tentang bahayanya apabila kuasa politik dikuasai oleh PAS

“Mereka akan menyebabkan kita berada dalam satu politik yang menakutkan kerana dinafikan hak untuk membantah dasar kerajaan sekiranya dipimpin PAS nanti," jelasnya.

Hassan dalam Muktamar Tahunan Pas ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) baru-baru ini dilapor membuat ucapan yang mengingatkan agar ahli parti tidak membantah keputusan pimpinan PAS.

Hassan mengingatkan agar ahli PAS taat kepada kepimpinan dan apa jua keputusan yang dibuat, perlu dipatuhi sama ada setuju mahupun tidak setuju termasuk isu calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Hassan yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang cuba menguat hujahnya dengan hadis Nabi tentang hukuman bunuh terhadap mana-mana pihak yang cuba memecah-belahkan perpaduan.

“Nabi SAW sebut, sesiapa yang cuba-cuba nak memecah-belahkan perpaduan kita, Nabi SAW sebut, faqtuluh, bunuh dia…,” tegas Hassan.

Sementara itu, Mahfuz menggesa Perikatan Nasional (PN) dan ahli Umno segera mengisytiharkan penyingkiran PAS daripada komponen parti kerajaan.

"Pengaruh perjuangan PAS akan memaksa kerajaan PN yang didokong BN membawa satu pendekatan keras yang sangat bertentangan dengan prinsip demokrasi dalam negara,” katanya menerusi video terkini di Facebooknya hari ini.

Pada masa sama, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyeru agar ahli PAS segera ‘membebaskan’ diri dari parti tersebut.
 

Post a comment

0 Comments